Assalamualaikum dan salam sejahtera


Tiga amalan setelah bangun tidur telah saya terangkan sebelum ini iaitu menyapu muka, berdoa dan bersugi.  Seterusnya, sunnah Rasulullah setelah bangun tidur adalah membasuh kedua belah tangan.

Membasuh Kedua Belah Tangan Setelah Bangun Tidur

Perkara yang Rasulullah lakukan adalah dengan membasuh kedua-dua tangan sebanyak 3 kali setelah bangun dari tidur. 

Hal ini boleh dirujuk dalam sebuah hadith.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Apabila salah seorang daripada kamu bangun daripada tidur, maka basuhlah tangan kamu terlebih dahulu tiga kali sebelum memasukkan kedua-dua tangan ke dalam bekas, kerana kamu tidak tahu di mana tangan kamu berada ketika sedang tidur."(Mutaffaq 'alaih)

Hikmah Membasuh Tangan

Daripada terjemahan hadith di atas telah menerangkan bahawa semasa tidur kita tidak tahu ke mana tangan kita berada. Cuba lihat anak kecil atau sesiapa yang sedang tidur, ada yang kedudukan semasa tidurnya tidak tetap, tanggannya tergaru-garu, kakinya tiba-tiba beralih ke sebelah lain  dan sebagainya.

Saya pernah alami perkara ini iaitu ketika tidur saya pernah menampar nyamuk sampai terlekat darah nyamuk di tapak tangan atau atas lantai. Pernahkan anda mengalaminya? Hebatnya Allah SWT menjaga kita.

Rapinya Islam

Islam yang Allah SWT anugerahkan kepada kita ini penuh dengan panduan yang berhikmah dan menyelamatkan kita.

Setelah kita terjaga dari tidur, disuruhnya kita membersihkan tangan agar kita sentiasa bersih dan tidak mendatangkan bahaya kepada kesihatan.

Dua persoalan di sini. Pernahkah terjadi apabila  kita bangun tidur terus sahaja makan coklat, kuih, kek atau sebagainya tanpa membasuh tangan? Entah ke manalah tangan kita ketika itu?

Basuhlah tangan, mungkin ada kuman yang terlekat pada tangan kita.