Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera

Sebulan yang lepas, saya membeli sebuah barangan elektrik untuk dipasang di dalam rumah saya. Dalam kotak barangan tersebut telah disediakan spesifikasi barangan dan manual untuk menggunakan barang itu.



Saya begitu bersungguh merujuk manual barangan tersebut untuk mengetahui cara yang betul menggunakan barangan ini.

Al-Quran Manual Kehidupan

Tiba-tiba hati saya terdetik, kenapalah saya begitu tekun merujuk manual itu sedangkan manual kehidupan yang Allah SWT sediakan saya kurang memberi perhatian. Ampunkan aku Ya Allah...

Kita semua sedia maklum bahawa manusia merupakan makhluk ciptaan Maha Pencipta. Segala kelemahan dan kelebihan kita sudah pasti diketahuiNya.

Oleh itu, Dia sediakan manual kehidupan yang padat dan berkesan iaitu Kitab Al-Quran kepada kita. Ini bertujuan supaya kita tidak sesat.

Kelebihan Membaca Al-Quran

Di dalam Al-Quran terkandung segala panduan yang perlu kita amal untuk kita hidup dengan teratur dan selamat. 

Dengan membaca Al-Quran kita akan diberi ganjaran pahala meskipun tidak memahami makna. Setiap huruf diberi ganjaran sebanyak 10 kali ganda.


Al-quran juga merupakan ubat hati yang menjadikan seseorang itu rasa tenang, tenteram, damai dan bahagia.


Selain itu, pelbagai persoalan kehidupan dapat dijawab di dalam Al-Quran. Banyak pengajaran dan kisah-kisah yang penuh iktibar dirakamkan di dalam Al-Quran.

Membaca Al-Quran dan Maknanya

Orang yang membaca Al-Quran pun diberi ganjaran pahala, apatah lagi orang yang membaca dan memahami serta menghayatinya.Bagaimana hendak kita menghayati isi kandungan Al-Quran kalau kita tidak tahu maknanya?

Adalah lebih baik lagi, sekiranya kita dapat membelajari tafsiran Al-Quran yang dihuraikan oleh ulama-ulama terdahulu kerana dengan membaca makna Al-Quran sahaja, kita hanya dapat mengetahui terjemahannya sahaja.

Orang yang mencari ubat hati perlulah membaca Al-Quran.