Assalamualaikum

Sebelum kita mendirikan solat, kita wajib memastikan tubuh badan kita, pakaian kita dan tempat untuk kita menunaikan ibadah solat suci bersih daripada sebarang najis.

Perkara ini amat penting untuk menentukan sah atau tidak ibadah solat kita.

Baiklah, mari kita lihat pembahagian najis supaya kita yakin untuk mendirikan solat.

Ketahui Pembahagian Najis Sebelum Solat [ Video ]
Ketahui Pembahagian Najis Sebelum Solat [ Video ]


Ketahui Pembahagian Najis Sebelum Solat

Secara umumnya, najis dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:

  1. Najis Mukhaffafah (ringan)
  2. Najis Mutawassitah (pertengahan)
  3. Najis Mughalazah (berat)

Najis Mukhaffafah

Najis ini dikategorikan sebagai ringan dan hanya air kencing kanak-kanak lelaki yang berumur kurang dari 2 tahun yang tidak makan apa-apa kecuali susu ibunya sahaja.

Jika kanak-kanak lelaki yang berumur kurang daripada 2 tahun tetapi dia minum susu ibunya dan makan benda lain seperti nestum dan sebagai maka air kencing kanak-kanak tersebut tidak dikira sebagai najis mukhaffafah.

Cara menyucikan najis Muhkaffafah

Cukup dengan hanya memercikkan sahaja air yang suci lagi menyucikan ke atas najis tersebut sehingga rata.

Najis Mutawassitah

Najis ini dikategorikan sebagai najis pertengahan dan cukup banyak terdapat dalam kehidupan seharian kita.

Contoh Najis Mutawassitah


  1. Nanah
  2. Air kencing
  3. Darah
  4. Muntah
  5. Air Wadi ( air yang keluar daripada kemaluan orang yang bekerja berat )
  6. Bangkai
  7. Mazi (air yang keluar daripada kemaluan lelaki mahupun wanita semasa naik syahwatnya)
  8. Cecair yang memabukkan susu dan mani binatang yang tidak halal dimakan

Cara menyucikan najis Mutawassitah

Najis ini mestilah dicuci dengan air mutlak dengan menghilangkan tiga perkara seperti berikut:
  1. Warnanya
  2. Baunya
  3. Rasanya
Ketiga-tiga perkara tersebut hendaklah dihilangkan tetapi sekiranya masih tidak hilang, walaupun sudah diusahakan dengan bersungguh-sungguh maka tidak wajib meneruskan lagi kerana Allah SWT tidak memberatkan hambanya.

Najis Mughallazah

Najis ini ialah najis berat dan hanya melibat dua binatang iaitu anjing dan babi.

Segala perkara yang berhubung dengan dengan kedua-dua binatang ini seperti tahi, air kencing, daging, kulit dan sebagainya dikira sebagai najis mughallazah.

Cara menyucikan najis Mughallazah

Apabila terkena najis ini, hendaklah dihilangkan najis tersebut dengan sebarang alat seperti kain, kapas dan sebagainya sehingga hilang warna, bau dah rasa.

Kemudian, basuh tempat yang kena najis tersebut dengan 1 kali air bercampur tanah dan 6 kali dengan air mutlak.

Video Cara Menyucikan Najis


Anda boleh rujuk video di bawah ini untuk lebih faham bagaimana untuk menyucikan ketiga-tiga najis tersebut.




Cara Menyucikan Air Kencing Atas Lantai

Sebagai tambahan ini cara menyucikan najis mutawassitah kalau najis itu berada di atas lantai yang jauh daripada tandas atau longkang.



Kesimpulan


Islam amat mementingkan kebersihan. Ketiga-tiga jenis najis tersebut perlu dikenalpasti dan kita wajib pelajari bagaimana cara untuk menyucikannya.

Barulah kita akan tenang dalam melakukan ibadah terutamanya solat.

Penerangan yang dikongsikan di atas dirujuk daripada buku Indahnya Hidup Bersyariat.